Wednesday, December 28, 2011

Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?

"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami, dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa."

Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah Ta'ala suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.

Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia?

Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka, tetapi wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?

Tentu sekali tidak.

Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum berumahtangga.

Sedarkah anda, bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?

Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka mengenali anda.

Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka.

Penyejuk mata?

Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.

Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.

Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.

Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.

Kedua, sikap dan perangai. Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda, terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.

Ketiga, lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.

Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh bagi?

Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah. Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?

Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat 'penyejuk mata' tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata manusia?

Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu sahaja?

Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.

Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!

- Artikel iluvislam.com

No comments: